![]() |
| BOB (tengah) bersama pelakon filem Balun. |
Tindakan produser menarik tayangan filemnya selepas diberi tarikh tayangan oleh Syarat Wajib Tayang (SWT) bukan perkara baru.
Alasan diberi, kesuntukan waktu untuk menjalankan promosi atau bimbang saingan daripada filem blockbuster luar yang ditayangkan serentak dengan filemnya.Bagaimanapun, alasan pinjaman bank tidak diluluskan memang mengejutkan.
Namun, itu yang berlaku kepada filem Balun yang ditetapkan untuk tayangan pada 10 April ini tapi produser yang juga pengarahnya, Bob Singah menarik diri kerana masalah kewangan untuk promosi.
Penggambaran filem terbitan Elements Pictures Sdn Bhd ini dilakukan awal September 2012 dan selesai sebulan kemudian di lokasi sekitar Kamunting, Taiping, Perak dengan kerjasama kerajaan Perak.
Ia membariskan pelakon popular Izara Aishah, Beto Kusyairy, Datuk Eizlan Yusof, Wan Raja dan Reen Rahim.
Sepatutnya filem ini diedarkan Grand Brilliance (GB) tetapi promosinya tidak dapat diteruskan apabila produsernya gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai kos promosi.
Ini juga bukan masalah baru membabitkan produser baru.
Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memberi bantuan kepada produser baru menghasilkan filem dengan memberi pinjaman melalui Dana Filem Kreatif.
Biasanya, produser mendapat pinjaman melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) sekitar RM1 juta hingga RM1.5 juta untuk menghasilkan satu filem.
Ada juga produser keluar duit sendiri sampai sanggup bergadai harta dan apabila filem siap, segala wang yang ada sudah habis, menyebabkan mereka perlu meminjam untuk kos promosi.
Namun, rasanya senario pertama yang berlaku dengan mendapatkan pinjaman bank.
Jika melalui pinjaman, jumlah itu akan dibahagikan untuk kos pre-produksi, produksi dan post produksi (suntingan, memasukkan suara dan muzik) serta promosi sebelum ditayangkan.
BSN tidak memberi jumlah pinjaman sekali gus, tetapi mengikut progres sebagaimana dikemukakan melalui kertas cadangan ketika permohonan.
Jadi, pandai-pandailah bahagikan untuk empat elemen penting itu.
Namun apabila terjadi filem siap tetapi peruntukan untuk promosi tiada, apakah mungkin bank mahu beri pinjaman lagi? Ini yang selalu berlaku kepada produser baru.
Apa dibimbangi ialah dapat pinjaman tetapi dibelanjakan untuk kepentingan peribadi hingga terpakai peruntukan untuk promosi.
Ada pula dapat pinjaman RM1 juta tetapi buat filem yang tidak setaraf dengan nilainya (curi bajet) dan masuk poket sendiri.
Itu memang selalu berlaku, menyebabkan bantuan diberi bukan menaikkan industri filem tanah air tetapi memburukkan lagi keadaan dengan lambakan filem yang tidak berkualiti dan kebanjiran produser baru yang tiada pengalaman buat filem.
Apabila filem tidak laku, bagaimana hendak bayar semula pinjaman dan akhirnya menyebabkan wang dana habis kerana hanya keluar, tetapi tiada yang masuk (bayar semula).
Bukan menuduh ia dilakukan produser filem Balun tetapi sekadar memberi contoh.
Tak pasal-pasal kena balun, sesuai dengan judul filem ini.
Apabila filem ini tarik diri, kena tunggu sekurang-kurangnya tiga bulan lagi untuk membuat permohonan tarikh baru tayangannya.
Jika pinjaman bank tidak dapat, cara lain yang produser ada ialah berbincang dengan pengedar untuk membiayai kos promosi dan dibayar semula hasil kutipan filem.
Namun dengan kutipan filem yang sukar dijangka sekarang, adakah pengedar mahu tanggung risiko mengeluarkan wang pendahuluan? Kalau tidak, alamatnya filem yang sudah siap akan terbiar.

No comments:
Post a Comment